CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday 24 March 2011

Cerpen ini didedikasikan khas buat kakakku & arwah abg Lan..

Azan subuh berkumandang terdengar sayup di telingaku. Aku menarik gebar yang melorot di betisku. Pagi yang mencengkam membuatkan tubuhku kedinginan dan menggigil kesejukan. Namun, suara azan yang begitu syahdu kedengaran seolah-olah menjerit minta dilaksanakan perintahNya. Aku lantas bangkit dari kamar peraduanku yang empuk lantas ke bilik air untuk mengambil wudhuk demi mengadap Sang Pencipta.
Usai menunaikan solat, aku mengemaskan cadar dan melipat gebar. Aku menuju ke tingkap dan membuka jendela. Mentari pagi kurasakan lembut menampar pipiku tatkala jendela dibuka. Keindahan alam maya menginsafi diriku dan menunjukkan betapa bertuahnya aku hidup di dunia ini. Kedengaran bisikan kicauan burung- burung menghasilkan muzik yang sungguh mengasyikkan. Matahari pagi beransur- ansur merangkak untuk memulakan kerjanya iaitu menyebarkan cahayanya ke bumi. Sudah bertahun pemergiannya. Namun terasa baru semalam semuanya berlaku. Tidak pernah aku lupa untuk menghadiahkan al- Fatihah buatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya. Amin. Ketenangan pagi itu membuatkan aku mengimbau kembali kenangan silam antara aku dan dirinya. Ku buka diari di dalam laci mejaku.
Chik, siapa tu? Datang rumah saudara orang x bagi salam pun. Main redah je.” Tanya Ariel kepada Chik seraya melihat kelibat aku masuk ke dalam rumah Tok Wan.
Oh, itu anak saudara Chik, anak kak long Chik. Eisya nama dia. Alah, bukan orang lain pun, dua pupu dengan Ariel jugak.” Terang Chik panjang lebar.
Hello saudara, ini rumah nenek saya, suka hati sayalah nak buat apa pun. Awak tu cuma cucu saudara dia, jadi saya lebih berhak.” Ujarku dengan perasaan marah sambil menghulurkan mangkuk tom yam yang ku belikan untuk Tok Wan semasa pulang dari kedai makan tadi. Menyibuk je. Gumam aku dalam hati.
Dah, dah…, jangan nak bertekak lagi. Ariel, Eisya memang macam tu sikit perangainya. Maklumlah cucu kesayangan, cucu sulung katakan. Tu yang manja semacam je. Ariel mesti tak kenal dia sebab habis je SPM dulu, dia terus dapat keje sebagai jururawat kat Johor. Dia jarang balik kampung”. Sampuk nenek yang baru usai sembahyang isyak, tidak mahu memanjangkan pertelingkahan di antara aku dan Ariel. Aku difahamkan Ariel datang ke sini untuk menjenguk Tok Wan kerana Tok Wan sakit. Sudah tiga hari Tok Wan tidak dapat berjalan akibat diserang penyakit gout, sejenis penyakit yang biasa menyerang orang tua.
Rupa- rupanya, pertemuan kami tidak berakhir setakat di situ sahaja. Pertemuan pertama itu telah berlanjutan sehingga terjadinya pertemuan kedua, ketiga dan seterusnya. Dan siapa sangka pertemuan demi pertemuan itu telah membuatkan kami semakin rapat. Ariel selalu datang ke rumah Tok Wan menyebabkan kami mempunyai banyak masa untuk berbual dan berkenalan diantara satu sama lain. Aku pula selalu menghabiskan waktu cuti dikampung jika tidak kemana-mana.
Ariel selalu menghubungiku semasa aku berada di Johor. Katanya dia mengambil nombor telefonku daripada Chik, bapa saudaraku. Lama- kelamaan timbul satu perasaan aneh di dalam diriku. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana perasaan itu yang secara halus menyelinap ke dalam urat sarafku, yang telah menggetarkan hati. Pendek kata, sehari tak mendengar suaranya, hidup aku pada hari itu terasa seperti tidak lengkap.
Tiga bulan kami berhubung melalui telefon. Pada suatu hari, Ariel telah meluahkan perasaannya padaku. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah diucapkan oleh Ariel, apatah lagi kami hanya berjumpa beberapa kali sahaja. Bagaimana perkenalan dan pertemuan yang singkat itu telah membuahkan bibit- bibit kasih antara kami. Namun, aku tidak terus menerimanya kerana aku telah pun mempunyai kekasih yang bekerja satu tempat yang sama denganku, Haikal. Namun begitu, kesibukan Haikal sebagai pembantu perubatan membuatkan aku sering dalam kesunyian.
Aku meminta Ariel memberikan aku waktu untuk berfikir dan membuat keputusan. Bukan aku tidak menyayangi Haikal, namun sikap keprihatinan Ariel dan kesibukan Haikal telah menyebabkan kasihku terhadap Haikal tergugat. Setiap saat Ariel sentiasa menemaniku walaupun hanya melalui telefon dan mesej. Bahkan, kadang- kadang aku semakin tidak sabar menunggu hari cuti untuk pulang ke kampung bertemu Ariel.
Usai sahaja solat Zohor, aku merebahkan diri di atas katil. Kucapai novel ‘Bicara hati’ karya Damya Hamna, di atas hujung meja di tepi katil. Ku jeling sekilas  jam di dinding. “Ah, awal lagi, baru pukul tiga”. Bisik hati kecilku.  Begitulah rutin harianku sejak aku pulang bercuti di kampung selama lima hari ini. Selepas sahaja aku membantu ibu menyiapkan tugas di dapur, aku akan menyambung membaca novel jika aku tidak keluar ke mana- mana.
Sedang asyik membaca, telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej yang baru masuk.

Askum. Hai, buat ape tu?=}
Mesej dari Ariel kuterima. Sebaik menerima mesej darinya, hatiku berbunga riang. Aku tidak menunggu lama untuk membalasnya.

X buat pape pun. Baru lepas solat, skrg tgh baca novel.=}

Ariel nak kuar nie. Nak pergi survey sport- rim kereta jap. Sambil- sambil tu blh juga mkn angin. Tp boring r kuar sorang- sorang. Eisya free x?


Soal Ariel padaku sebelum sempat kutanya tujuan dia menghantar mesej padaku.

Eisya free je. Lagipun memang balik kampung nie x buat pape pun. Cuma tlg mak je. Lps tu bsrkn badan je lar.=}. Knp?

       Eisya tmnkan Ariel boleh x?.


Tanyanya tanpa berselindung. Aku tidak berfikir panjang lagi untuk menerima pelawaannya kerana hatiku ini sudah cukup rindu.

       Ok. Pukul brp nak pergi?

Soalku sekadar berbasi- basi. Tidak mahu menampakkan aku begitu teruja.
Ok, kalo nak pergi, Eisya pergi bersiap dulu. Lagi setengah jam Ariel dtg
       ambil k?.

Sebaik menamatkan perbualan antara kami, aku terus menghampiri almari baju. Aku keluarkan sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang dan sehelai selendang dari rona yang sama. Aku persiapkan diri seringkas yang mungkin. Kemudian, aku beredar ke meja solek pula. Agar mukaku tampak segar, aku menempel bedak Maybelline dan secalit gincu berwarna Pink Crystal jenama Naughty Nauticals Lustreglass dari M.A.C. Puas aku menilik mukaku di cermin. Aku bersyukur kerana dikurniakan dengan wajah yang cantik dan sempurna. Muka ku yang berbentuk bujur sireh dan persis cina memudahkan aku untuk menyesuaikan diri dengan pemakaian tudung. Ditambah pula lesung pipit di kiri kananku, makin menyerlahkan keayuan. Dan dianugerahkan dengan kulit yang putih kemerah-merahan, tidak memerlukan aku memakai make- up yang tebal. Cukuplah sekadar memakai alas bedak yang tipis, mukaku sudah nampak begitu cantik.
Setelah yakin semuanya sempurna, aku beredar dari meja solek menuju ke pintu. Sebelum keluar, aku masih sempat menyembur perfume Far Away  kegemaranku ke tubuh. Aku mencapai tas tangan dan memulas tombol pintu lalu keluar.
Aku menghempaskan badan di atas tilam sebaik saja masuk ke bilik. Terasa penat badanku berjalan seharian dengan Ariel. Namun begitu aku seronok ketika bersamanya. Kadang- kadang aku pernah mengharapkan agar waktu tidak akan cepat berlalu ketika aku berada bersamanya. Masih ku ingat kata- kata dan pujian yang singgah di telingaku ketika keluar bersamanya tadi. Katanya, kecantikan dan keayuanku makin terserlah dengan padanan baju kurung tadi, sesuai dengan bentuk tubuhku yang tinggi langsing.
Usai membersihkan diri dan solat, aku membelek hadiah yang diberikan Ariel kepadaku petang tadi. Sepasang kain untuk dibuat baju kurung berwarna biru air, senada dengan baju Melayu yang kupilih untuknya tadi. Sudah puas ku tolak pemberiannya, namun dia tetap memaksa aku menerimanya. Katanya, dia ingin nampak sedondon denganku ketika hari perkahwinan ibu saudaraku yang akan menjelang tidak lama lagi. “Ah, engkau terlalu baik padaku, Ariel”. Getus hatiku.
Sedang asyik mengelamun, aku terpandangkan bingkai gambar aku dan Haikal  ketika mengikuti rombongan percutian di Langkawi beberapa bulan lepas. Hatiku tiba- tiba diusik kerinduan terhadapnya. Haikal juga terlalu baik untuk aku sakiti. Mana mungkin aku lupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Haikal buatku sepanjang aku bersamanya. Dia yang menjaga makan minumku ketika aku berada di Johor, jauh dari keluarga. Tidak aku nafikan, Haikal lebih tampan dari Ariel. Tubuhnya dan wajahnya ala- ala Hans Isaac itu membuatkan aku berasa bangga tatkala berjalan beriringan dengannya. Wajahnya yang putih bersih cukup menggambarkan dia begitu menjaga kecantikan. Berbeza pula dengan Ariel yang berkulit hitam manis, namun tetap juga menambat hatiku kerana dia seorang yang mementingkan gaya dan kekemasan. Ditambah pula kumis nipis di wajah dan janggut sejemput di dagu masih mampu menggetarkan naluri kewanitaanku.
Seminggu kepulanganku ke Johor, Haikal telah menyatakan hasratnya untuk meminangku. Aku dalam keadaan ketidakpastian. Tatkala itu, lagu yang dimainkan di corong radio seperti terkena batang hidungku. Lagu ‘Di sana menanti, di sini menunggu’ nyanyian Ukays begitu jelas liriknya di pendengaranku. Beberapa hari kemudian, aku menerima pula mesej dari Ariel yang menyatakan hasrat yang sama, iaitu ingin menjadikan aku isterinya.
Sejak kebelakangan ini, hidupku menjadi tidak keruan. Yang mana satu hendak ku pilih. Kedua- duanya aku sayang. Kalau boleh, aku ingin memilih keduanya. Tapi tidak ada mazhab yang mengatakan perempuan boleh berkahwin lebih dari satu. Tiap kali hendak tidur, puas aku pejamkan mata, namun aku tetap tidak dapat lena kerana terlalu asyik memikirkan perkara tersebut. Kadang- kadang aku akan berfikir tentang perkara ini sehinggakan aku terlena dengan sendirinya. Bahkan hingga terbawa- bawa di dalam mimpi.    
Akhirnya aku telah membuat keputusan setelah puas berfikir. Aku menyatakan hasrat kedua- dua lelaki tersebut kepada ibuku. Aku telah berpesan kepada ibu, andai sesiapa di antara Ariel atau Haikal masuk meminangku lebih awal, telah aku suruh ibu menerima pinangan tersebut bagi pihakku. Sehari sebelum Ariel masuk meminangku, keluarga Haikal terlebih dahulu datang. Emak aku terus menerimanya kerana aku telah berpesan kepadanya begitu.
Berita yang aku terima bahawa aku telah menjadi tunang Haikal sedikit menyentak hatiku kerana aku amat berharap Ariel yang akan mendahului Haikal. Namun aku percaya pada takdir. Ada sebabnya kenapa jodohku tiada dengan Ariel. Akhirnya aku hanya mampu pasrah dengan kehendakNya. Aku dengar daripada Ayu, sahabat karibku, pada hari pertunanganku dengan Haikal, Ariel telah mengamuk di rumahnya. Barang- barang peminangan habis disepahkannya. Aku sempat memberikan sepucuk surat kepada Ariel sebelum aku berangkat pulang ke Johor.

Assalamualaikum…

Bersama desiran angin malam, Eisya titipkan bicara ini khas buat Ariel. Bukan niat Eisya mengganggu Ariel, namun ingatlah kita manusia jangan terlalu lemah dengan cinta. Buat pengetahuan Ariel, Eisya tidak pernah menganggap Ariel lebih daripada seorang teman dan saudara. Jujur Eisya akui, Eisya gembira berkenalan dengan Ariel, namun itu tidak bermakna Eisya mencintai Ariel.
Janganlah kerana pertunagan Eisya, Ariel menghukum diri Ariel. Bukan begini caranya untuk melepaskan geram. Dengan cara menyeksa diri, Ariel bukan sahaja mendapat penyakit, bahkan Ariel turut menyeksa perasaan ibu bapa Ariel. Anggap sahaja tiada jodoh antara kita. Mungkin masih ada perempuan lain yang lebih baik dan sesuai buat Ariel.
Sebelum Eisya mengundur diri, Eisya amat berharap agar Ariel bangkit dari mimpi ini. Eisya juga ingin memohon maaf andai kemesraan yang ditunjukkan oleh Eisya membuatkan Ariel menyalahertikan tentang perhubungan kita. Doakan kebahagiaan Eisya.

Sekian, Wassalam….Eisya.

Air mataku gugur jua tatkala coretan terakhir aku habiskan. Biarlah hanya aku yang tahu perasaanku pada Ariel. Biarlah Ariel membenciku agar dia tidak menjadi lemah. Biarlah aku mengorbankan rasa cinta aku terhadapnya. Aku lebih rela begitu. Aku akan membuat apa sahaja untuk memastikan Ariel bangkit membina hidupnya kembali. Semenjak hari itu, aku tidak lagi menemuinya.  
Aku bertugas seperti biasa. Aku cuba menyibukkan diri agar aku dapat melupakan kisah- kisah sedih yang melanda diriku sejak akhir- akhir ini. Tatkala rindu bertandang, aku akan menelefon kawanku di kampung untuk bertanyakan khabar Ariel. Hanya itu yang mampu ku lakukan untuk menghilangkan kerinduan di hati. Dari perkahabaran yang kuterima dari temanku, Ariel juga telah lama tidak datang ke rumah Tok Wan.
Usai pulang kerja, aku mengemaskan barang- barangku. Permohonan cuti selama seminggu telah diluluskan oleh majikanku. Esok, aku akan pulang ke kampungku di Terengganu bersama tunangku Haikal bagi menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaraku.
Peristiwa yang aku tidak dapat lupakan ialah sehari sebelum perkahwinan ibu saudaraku. Ariel telah menghantar mesej kepadaku memberitahuku bahawa dia ingin memohon maaf di atas kisah yang lalu dan sempat berpesan agar aku menjaga perhubungan aku dan tunangku dengan elok. Dia juga menyuruh aku menghalalkan segala makan- minum dan apa- apa sahaja yang pernah berlaku sepanjang perhubungan kami dahulu. Katanya, dia ingin sekali melihat aku memakai baju yang dihadiahkan kepada aku dahulu. Aku berasa pelik dengan kata- katanya, namun aku buat endah tak endah sahaja.
Pada pukul lapan malam pada hari yang sama, Ayu telah telah menelefonku memberitahu bahawa Ariel telah tiada. Apa maknanya?. Aku jadi bingung. Pada waktu itu, aku berada bersama tunangku kerana membeli hadiah untuk perkahwinan ibu saudaraku. Haikal dapat mengesan perubahan riak wajahku. Setelah didesak, aku akhirnya menyatakan kebenarannya. Haikal lantas membawa aku pulang.
Sepanjang perjalanan pulang, aku hanya diam membisu. Begitu juga Haikal. Yang kedengaran hanyalah suara nyanyian artis di corong radio. Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu. Hendak menangis, tiada air mata. Tapi, dalam hatiku hanya Tuhan yang tahu betapa pedihnya hatiku.
Insan yang pernah beraja dihatiku suatu ketika dulu kini telah tiada lagi di dunia ini. Aku teringat kata-katanya ketika bercakap melalui telefon dengannya buat kali terakhir dengannya selepas majlis pertunangan aku berlangsung.
Eisya, sampai hati Eisya lukakan hati Ariel. Tidakkah Eisya ingat saat bahagia yang pernah kita lalui bersama dahulu?”. Dapat ku dengar dengan jelas intonasi suara Ariel yang tinggi tatkala itu menahan rasa.
Ariel, Eisya minta maaf. Tapi Eisya tidak boleh memilih kedua- duanya sekali. Jadi…..”.
Belum sempat Eisya menghabiskan ayat, Ariel terlebih dahulu memintas. “Jadi, Eisya tegar melukakan hati Ariel? Eisya ingat Ariel nie tempat untuk melepaskan kerinduan Eisya pada dia?. Sungguh mudah tanggapan Eisya pada Ariel. Tapi, Ariel takkan mengalah. Sedangkan orang yang berkahwin pun boleh bercerai inikan pula baru bertunang.
Apa maksud Ariel?”. Soalku. Hatiku berasa tidak sedap dengan nada percakapan Ariel yang berbaur ugutan itu.
Ariel akan memastikan Eisya menjadi milik Ariel. Kalau tak pun, Ariel akan mati sebelum perkahwinan Eisya dan dia berlangsung”.
Rupa- rupanya perkataan ‘mati’ yang dituturkannya dahulu adalah benar. “Ariel, maafkan Eisya sayang. Eisya tak terniat untuk melukakan hatimu. Namun, Eisya sebagai perempuan biasa tidak terlepas dari kekhilafan. Semoga ‘pengunduran’ diri Ariel akan membuatkan Eisya lebih setia”. Detik hatiku. Kuseka air mataku dari mengalir, takut dilihat oleh tunangku di sebelah.

Aku teringat kembali bait-bait lagu yang pernah Ariel layangkan kepada aku dahulu sewaktu pertemuan terakhir kami hari itu.
Izinkan diriku meluahkan rasa
Maafkanlah aku andai kau terasa
Biar kupaparkan apa yang terjadi
Moga engkau tak ulangi..

Sungguh tak kusangka kau berpaling tadah
Setelah lamanya menjalinkan cinta
Dalam diam-diam kau sudah berpunya
Tanpa aku menyedari semuanya…

Aku mendoakan agar kau bahagia
Bersama si dia, insan yang kau suka
Percintaan kita tak sampai kemana
Setakat dibibir saja..

Sayang..
Kau bina mahligai dari airmata
Yang jatuh berderai diwajah sepiku
Hancurnya hatiku bias tak terkata
Terhumban rasa diriku..

Oh aduhai kumasih ingati
Janji manis dan saat romantis
Kau pintaku supaya setia
Akhirnya engkau yang berubah..

Kring!! Kring!!.... Telefon di bilikku berdering mematikan lamunanku. Rupa- rupanya panggilan daripada tunangku. Pagi ini kami ada sesi fotografi untuk pakaian pengantin. Sekarang jarum jam sudah menunjukkan angka sembilan. Begitu lama aku mengelamun rupa- rupanya. Kini, sudah setahun pemergiannya. Sebaik sahaja pulang dari butik nanti, aku akan ke kubur bersama Haikal untuk menziarahi pusara Ariel. Sehingga sekarang, Haikal masih tidak mengetahui perasaan aku terhadap Ariel. Biarlah rahsia ini tersisip kemas di lipatan mindaku yang menjadi sejarah cinta yang terabadi.

Tarikh 26 haribulan tidak akan aku lupakan sepanjang hidup kerana tarikh ini merupakan tarikh di mana banyak berlaku peristiwa sedih dalam hidupku. Masakan aku lupa, tarikh 26 hb. Ogos 2004, iaitu tarikh ‘pemergiannya’, iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan ibu saudaraku dan dua hari sebelum pilihan raya kecil ADUN Kuala Berang, tempat kelahiranku. Tarikh 26 hb Januari 2005, aku telah terlibat dengan kemalangan bersama tunangku ketika dalam perjalanan pulang selepas sambutan hari raya Aidilfitri. Kereta yang dipandu tunangku terbabas lalu melanggar benteng selepas mengelak dari terjunam ke dalam gaung di lebuh raya Tangkak- Muar. Juga peristiwa yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia iaitu peristiwa Tsunami yang berlaku pada 26 hb Disember 2004.
Peristiwa- peristiwa ini sedikit sebanyak telah mematangkan pemikiran aku. “Pergilah Ariel. Pergilah mencari ketenangan hakiki. Biarkan aku dengan kenangan kita, yang akan sentiasa hidup di dalam sanubariku. Sesungguhnya, hati ini dengan rela melepaskan engkau pergi. Kenangan kita tetap menjadi memori cinta semalam. Izinkan aku bahagia”. Diari ditutup oleh Eisya dengan perasaan yang tenang.


Nukilan by Maizatul Afza
p/s : ini merupakan kisah yang benar-benar berlaku...tiada ciplak mahupun copy&paste






0 comments:

Post a Comment